Menu

Kosmo

15 February, 2024

Matrix Anjur Kempen The Roaring Dragon

Matrix Concepts anjur sambutan Tahun Baharu Cina bertemakan The Roaring Dragon di d'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan dengan pelbagai persembahan budaya.

Editorial.

Sambutan Tahun Baharu Cina di Bandar Sri Sendayan sentiasa menjadi acara yang kami nantikan setiap tahun, dan tema The Roaring Dragon kali ini membawa bersama semangat kuasa dan tuah yang melambangkan naga, haiwan zodiak paling dirayakan dalam tradisi Cina. Hujung minggu ini di d'Tempat Country Club, pengunjung boleh menikmati tarian singa akrobatik, demonstrasi seni mempertahankan diri, bengkel kaligrafi dan hiasan gantung, serta pelbagai hidangan istimewa dalam suasana perayaan yang meriah. Masuk adalah percuma dan semua ahli komuniti dijemput hadir bersama. Ketahui lebih lanjut tentang kehidupan komuniti di Bandar Sri Sendayan di halaman pembangunan kami.

The Story.

Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) akan menganjurkan kempen sempena sambutan Tahun Baharu Cina bertemakan The Roaring Dragon bermula hujung minggu ini sehingga minggu hadapan.

Ketua Bahagian Pemasaran Matrix Concepts, Lim Kok Yee berkata, sempena acara tersebut, pelbagai persembahan warisan dan kebudayaan masyarakat Cina akan dipertontonkan kepada pengunjung pada Sabtu dan Ahad bertempat di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan di sini.

“Berdasarkan kejayaan acara pada musim perayaan sebelum ini, kami sangat teruja untuk tampil dengan tema The Roaring Dragon untuk sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Ia adalah peluang untuk kami memberi penghormatan kepada warisan budaya masyarakat Cina yang kaya dan mencipta suasana meriah yang menghimpunkan orang ramai dalam perayaan ini,” katanya dalam kenyataan yang dike­luarkan di sini semalam.

Menurut Kok Yee, pihak Matrix Concepts akan terus komited memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Sambutan The Roaring Dragon akan menjadi platform untuk penduduk berkumpul, menjalin persahabatan baharu dan mencipta kenangan terindah bersama orang tersayang. “Antara persembahan akan diadakan termasuklah tarian singa akrobatik, demonstrasi seni mempertahankan diri dan persembahan gendang serta persembahan muzik secara langsung.

“Pengunjung juga berpe­luang menyertai aktiviti lain seperti bengkel kaligrafi dan hiasan gantung serta menikmati hidangan kulinari yang disediakan,” jelasnya.