18 October, 2024
Matrix Concepts proses 1,956kg sisa makanan jadi baja organik di Bandar Sri Sendayan menerusi inisiatif Club-EcoGrow. Ketahui usaha kelestarian komuniti kami.
Sejak mesin kompos kami mula beroperasi pada bulan Ogos, lebih 1,956 kilogram sisa makanan dari restoran d'Tempat Country Club dan sekolah Adcote Matrix Malaysia telah diubah menjadi 523 kilogram baja organik yang kini boleh dibeli oleh orang ramai dengan harga RM8 sepeket. Bagi kami, inisiatif Club-EcoGrow ini bukan sekadar tentang mengurus sisa makanan, ia tentang membina kesedaran dalam komuniti bahawa setiap tindakan kecil, termasuk mengasingkan sisa dapur, boleh memberi impak yang nyata kepada alam sekitar. Baja yang dihasilkan juga akan digunakan untuk menjaga 20,000 pokok yang telah kami tanam di seluruh Bandar Sri Sendayan, menjadikan kitaran ini benar-benar lengkap. Ketahui lebih lanjut tentang usaha kelestarian kami di halaman kelestarian kami.
SEREMBAN: Sebagai usaha membantu dalam isu pengurusan sisa makanan di negara ini, syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) tampil dengan langkah proaktif menerusi inisiatif pengkomposan menerusi penggunaan mesin kompos.
Menurut Pengurus Besar, Sekretariat Korporat, Tadbir Urus dan Kelestarian Kumpulan, Carmen Loo berkata, sejak penggunaan mesin kompos itu dimulakan pada bulan Ogos lalu, sebanyak 1,956 kilogram sisa makanan telah diproses dan menghasilkan sebanyak 523 kilogram kompos.
Katanya, kesemua sisa makanan itu dari sekolah swasta Adcote Matrix Malaysia dan restoran dari rumah kelab kendalian syarikat itu.
“Kompos itu menjadi baja organik yang kemudian boleh dibeli oleh orang ramai dengan harga RM8 sepeket. Walaupun inisiatif ini baru beberapa bulan dilaksanakan, ia mula memberi nilai positif kepada komuniti setempat.
“Ia pada masa sama dapat mewujudkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada masyarakat setempat untuk mengamalkan amalan mesra alam di rumah dan premis perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Club-EcoGrow Garden di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Menurut beliau, baja kompos itu juga akan digunakan untuk penyelenggaraan termasuk sebanyak 20,000 pokok yang telah ditanam di seluruh Bandar Sri Sendayan.
Sementara itu, Carmen memberitahu, Matrix Concept akan terus komited dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda mengenai tanggungjawab persekitaran mereka.
“Kami berharap usaha kecil ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar dan mengambil langkah ke arah masa depan yang lebih hijau,” katanya lagi.
